4 Januari 2010, tirai sesi persekolahan 2010 mula dibuka dengan rasminya. Perhimpunan rasmi sekolah pada hari ini diadakan agak istimewa apabila pihak pengurusan sekolah menjemput bekas murid Tingkatan 5 Iltizam bagi sesi 2009, Saudari Nor Ashimah binti Mohd Saleh yang juga mantan Penolong Ketua Umum Badan Ketua Pelajar sekolah ini untuk menyampaikan ucapan berkisar tentang pengalamannya mewakili Negeri Sembilan dalam Pertandingan Pemilihan Tokoh NILAM Peringkat Kebangsaan 2009 dan jemputan ini juga sebagai tanda penghargaan pihak sekolah kepada beliau kerana terpilih sebagai Johan Pertandingan Tokoh NILAM Peringkat Negeri Sembilan 2009.
Dalam ucapannya kepada murid-murid pada pagi ini, Nor Ashimah telah mengimbas kembali pengalamannya ketika menyertai pertandingan tersebut yang banyak menguji kebolehan peserta dari aspek kemahiran lisan dan kemahiran penulisan. Menurutnya, soalan-soalan yang dikemukakan beraras tinggi. Hal ini menuntut setiap peserta perlu menguasai ilmu pengetahuan am yang luas dan memiliki kemantapan penguasaan kemahiran bahasa yang meliputi bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Seterusnya, Saudari Nor Ashimah merakamkan penghargaan yang tidak terhingga kepada para guru sekolah ini yang banyak membimbingnya sehingga mencapai tahap ini. Harapan Nor Ashimah, semoga ada murid-murid sekolah ini yang akan menuruti jejaknya, bahkan memperoleh kedudukan yang lebih cemerlang. Dalam perhimpunan ini, Pengetua SMK Palong Dua (F), Puan Saadiah binti Saad telah sudi menyampaikan trofi Johan Pertandingan Tokoh NILAM Negeri Sembilan 2009 kepada Nor Ashimah binti Mohd Saleh. Trofi ini sepatutnya beliau terima semasa Majlis Anugerah Teknopen Negeri 2009 yang telah diadakan di BTPNNS Port Dickson pada bulan November tahun lalu. Namun, beliau tidak berkesempatan untuk menerimanya kerana sedang menduduki peperiksaan SPM 2009.
No comments:
Post a Comment